Harith Iskander nafi letak harga tidak munasabah
18 Jul – Pelawak popular tanah air, Harith Iskander menyangkal dakwaan kononnya dia telah meletakkan harga tidak munasabah iaitu RM100,000 bagi menjayakan sebuah program Hari Raya, dan berkata tuduhan itu mengarut dan tidak masuk akal.
"Hahaha! Setakat ini tiada siapa yang mampu meletakkan harga sebegitu tinggi. Rasanya harga itu dah melampau.
"Pelawak yang dimaksudkan bukan saya dan rasanya ia juga bukan daripada pelawak-pelawak yang saya kenal. Nilai harga yang dikatakan itu tidak masuk akal," katanya yang dipetik dari mStar.
Tambah pelawak berusia 43 tahun itu berkata, dia hanya meletakkan bayaran RM10,000 untuk sesebuah majlis dan jumlah tersebut masih boleh dirunding.
"Kalau nak tahu, kadar bayaran saya hanyalah 10 peratus daripada RM100,000 yang digosipkan itu, dan kadarnya juga ditetapkan mengikut kesesuaian majlis dan klien itu sendiri.
"Sekiranya klien itu berpuas hati dengan persembahan yang diberikan, mereka akan memanggil kita semula dan secara tidak langsung mereka akan meletakkan harga yang lebih tinggi berbanding undangan persembahan sebelumnya."